Melihat Allah

Syaikh Prof. Dr. Robee’ bin Hadi Al-Madkhali hafidzohullaah
شرح أصول السنة للإمام أحمد بن حنبل
www.ilmusunnah.com


Imam Ahmad bin Hanbal rahimahullah (Wafat: 241H) berkata:

وَمِثْلُ أَحَادِيثِ الرُّؤْيَةِ كُلِّهَا، وَإِنْ نَبَتْ عَنِ الْأَسْمَاعِ وَاسْتَوْحَشَ مِنْهَا الْمُسْتَمِعُ فَإِنَّمَا عَلَيْهِ الْإِيمَانُ بِهَا، وَأَنْ لَا يَرُدَّ مِنْهَا جُزْءًا وَاحِدًا

“Demikian juga hadis-hadis tentang ar-ru’yah (melihat Allah) keseluruhannya, sekalipun terdengar mustahil di telinga dan tidak logik di sisi yang mendengarnya. Wajib atasnya untuk beriman dengannya dan jangan sampai ia menolaknya walau satu huruf pun.”

وَالْإِيمَانُ بِالرُّؤْيَةِ يَوْمَ الْقِيَامَةِ كَمَا رُوِيَ عَنِ النَّبِيِّ – صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ – مِنَ الْأَحَادِيثِ الصِّحَاحِ، وَأَنَّ النَّبِيَّ – صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ – قَدْ رَأَى رَبَّهُ، وَأَنَّهُ مَأْثُورٌ عَنْ رَسُولِ اللَّهِ – صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ – صَحِيحٌ، رَوَاهُ قَتَادَةُ، عَنْ عِكْرِمَةَ، عَنِ ابْنِ عَبَّاسٍ، وَرَوَاهُ الْحَكَمُ بْنُ أَبَانٍ، عَنْ عِكْرِمَةَ، عَنِ ابْنِ عَبَّاسِ، وَرَوَاهُ عَلِيُّ بْنُ زَيْدٍ، عَنْ يُوسُفَ بْنِ مِهْرَانَ، عَنِ ابْنِ عَبَّاسٍ، وَالْحَدِيثُ عِنْدَنَا عَلَى ظَاهِرِهِ كَمَا جَاءَ عَنِ النَّبِيِّ – صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ – وَالْكَلَامُ فِيهِ بِدْعَةٌ، وَلَكِنْ نُؤْمِنُ بِهِ كَمَا جَاءَ عَلَى ظَاهِرِهِ وَلَا نُنَاظِرُ فِيهِ أَحَدًا

Beriman dengan ru’yah di hari kiamat sebagaimana perkara tersebut telah diriwayatkan dari Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam dalam hadis-hadis yang sahih. Dan bahawa Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam pernah melihat Rabb-nya kerana perkara tersebut telah dinukilkan dari Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam secara sahih. Diriwayatkan oleh Qotadah daripada ‘Ikrimah daripada Ibnu ‘Abbas. Diriwayatkan juga oleh Al-Hakam bin Aaban daripada ‘Ikrimah daripada Ibnu ‘Abbas. Diriwayatkan pula oleh ‘Ali B. Zaid daripada Yusuf B. Mihran daripada Ibnu ‘Abbas. Hadis tersebut di sisi kami sebagaimana zahirnya, sebagaimana yang datang dari Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam. Memperkatakan tentangnya (dengan akal) adalah bid’ah, sebaliknya hendaklah kita beriman dengannya sebagaimana ia datang selari maksud zahirnya dan kita tidak memperdebatkannya dengan seorangpun tentangnya.” (Al-Laalikaa’i, Syarah Ushul I’tiqad Ahlus Sunnah wal-Jama’ah, 1/177)

Syarah dan penjelasan oleh Syaikh Rabi’:

Imam Ahmad berkata, “Demikian juga hadis-hadis tentang ar-ru’yah (melihat Allah) keseluruhannya…” iaitu maksudnya, melihat Allah Subhanahu wa Ta’ala di akhirat. Wajib atas seorang hamba untuk beriman bahawa Allah Subhanahu wa Ta’ala dapat dilihat kelak di akhirat; kaum mu’minin akan melihat-Nya.

Al-Mu’tazilah, mereka mengingkari Ru’yatullah ini di akhirat! Kefahaman mereka ini terbina di atas syubhat-syubhat yang bathil.

Ahlus sunnah pun membantah mereka dengan hujjah-hujjah serta dalil-dalil dari Kitabullah dan Sunnah Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam. Di antara yang membantah mereka adalah imam Ibnul Qayyim rahimahullah. Beliau berhujah dengan tujuh ayat dari Al-Qur’an yang mungkin pada sebahagian orang menganggapnya tidak tepat pendalilan tersebut, namun jika diteliti betul-betul nescaya dia akan mendapati bahawa beliau memang di atas kebenaran dalam berdalil dengannya.

Di antara ayat-ayat tersebut adalah firman Allah:

أَنَّكُمْ مُلَاقُوهُ

“Sesungguhnya kalian akan menemui-Nya.” (Surah Al-Baqarah, 2: 61)

Lalu Ibnul Qayyim mengatakan:

“Pada suatu perjumpaan itu pasti ada proses melihat dan menyaksikan.”

Inilah yang ditunjukkan (secara makna dalam) bahasa ‘Arab.

Beliau juga berhujah dengan mengatakan:

“Sesungguhnya ayat-ayat yang dijadikan sandaran oleh orang-orang yang mengingkari Ru’yatullah ialah seperti firman Allah Subhanahu wa Ta’ala:

لَا تُدْرِكُهُ الْأَبْصَارُ وَهُوَ يُدْرِكُ الْأَبْصَارَ وَهُوَ اللَّطِيفُ الْخَبِيرُ

“Dia tidak dapat dijangkau oleh penglihatan mata, sedang Dia dapat melihat segala penglihatan itu, dan Dia-lah yang Maha Halus lagi Maha Mengetahui.” (Surah Al-An’aam, 6: 103)

Syaikh Al-Islam Ibnu Taimiyah rahimahullah menukilkan bahawa Allah tidaklah memuji diri-Nya dengan suatu penafian semata. Tetapi Allah Subhanahu wa Ta’ala memuji diri-Nya dengan suatu penafian yang mengandungi penetapan (itsbaat). Beliau memberikan contoh yang banyak dalam perkara ini. Dan di sini ada firman Allah:

لَا تُدْرِكُهُ الْأَبْصَارُ

“Dia tidak dapat dijangkau (atau diliputi) oleh penglihatan mata…”

Di dalamnya terkandung penetapan adanya Ru’yah (melihat Allah nanti di akhirat). Kerana dalam ayat ini Allah Subhanallahu wa Ta’ala tidak menafikan ru’yah, tetapi menafikan ihaathah (diliputi).

Dan Allah, tidak ada suatu apapun yang dapat meliputi-Nya. Boleh jadi engkau melihat matahari, langit, dan banyak benda-benda yang wujud, namun engkau tidak dapat meliputi (menjagkau)nya, sekalipun engkau telah melihatnya secara umum.

Demikian pula ayat lain tentang ucapan Allah terhadap Musa ‘alaihis Salam:

لَنْ تَرَانِي

“Engkau tidak akan mampu melihat-Ku…” (Surah Al-A’raaf, 7: 143)

Nabi Musa ‘alaihis Salam memohon kepada Rabb-nya agar melihat-Nya. Seandainya perkara ini diharamkan atau mustahil, tentunya Nabi Musa tidak akan memintanya. Tetapi Allah Subhanahu wa Ta’ala mengatakan:

لَنْ تَرَانِي

“Engkau tidak akan mampu melihat-Ku…” (Surah Al-A’raaf, 7: 143)

Di sini Allah tidak mengatakan:

لَا حَيْثُ

“Engkau tidak dapat melihat-Ku.”, tetapi Allah mengatakan:

“Engkau tidak akan mampu melihat-Ku…” (Surah Al-a’raaf, 7: 143), iaitu untuk saat ini (ketika di dunia).

فَلَمَّا تَجَلَّى رَبُّهُ لِلْجَبَلِ جَعَلَهُ دَكًّا

“Maka ketika Rabb-nya menampakkan diri kepada gunung tersebut, dijadikan-Nya gunung tersebut hancur berkecai.” (Surah Al-a’raaf, 7: 143)

Nabi Musa ‘alaihis Salam tidak mampu melihat Allah Subhanahu wa Ta’ala di dunia ini. Dan susunan (binaan jasad) pada saat ini tidak akan mampu untuk melihat Allah Subhanahu wa Ta’ala.

Bagaimana mungkin sedangkan di dalam hadis yang sahih telah disebutkan:

حِجَابُهُ النُّورُ: لَوْ كَشَفَهُ لَأَحْرَقَتْ سُبُحَاتُ وَجْهِهِ مَا انْتَهَى إِلَيْهِ بَصَرُهُ مِنْ خَلْقِهِ

“Tirai (hijab)nya adalah nuur (cahaya). Seandainya Allah menyingkapnya pasti kesuciannya (wajah)-Nya akan membakar semua makhluk yang dicapai pandangan-Nya.” (Shahih Muslim, no. 179)

Oleh kerana itulah, rangkaian (binaan jasad) manusia yang ada saat ini tidak akan mampu untuk melihat Allah. Jika gunung pun hancur berkecai kerana penampakkan wajah diri Allah Sunhanahu wa Ta’ala, bagaimana mungkin manusia mampu melihat-Nya?!

Akan tetapi apabila Allah Subhanahu wa Ta’ala telah membangkitkan hamba-hamba-Nya, lalu memasukkan mereka ke dalam Syurga-Nya, barulah demikian dan demikian. Maksudnya bahwa Allah Subhanahu wa Ta’ala akan memasukkan mereka (ke dalam jannah) dengan bentuk serta susunan yang telah siap (sedia) untuk dapat melihat Allah Subhanahu wa Ta’ala.

Dan di antara ayat-ayat lainnya:

لِلَّذِينَ أَحْسَنُوا الْحُسْنَى وَزِيَادَةٌ

“Bagi orang-orang yang berbuat baik, ada (balasan) terbaik dan tambahannya…” (Surah Yunus, 10: 26)

Ayat ini ditafsirkan oleh Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam dengan Ru’yah sebagaimana yang disebutkan pada hadis Shuhaib radhiyallahu ‘anhu dalam Shahih Muslim. (lihat: Shahih Muslim, no. 181)

Juga dari sejumlah sahabat, mereka menafsirkan (memahami) makna lafaz “وَزِيَادَةٌ” (tambahannya) dalam ayat ini dengan Ru’yatullah (melihat Allah di Syurga).

Jadi, Al-Husna adalah Syurga, manakala Az-Ziyaadah adalah melihat Allah (ru’yatullah) dan ini lebih utama dari Syurga. Allah Subhanahu wa Ta’ala mengatakan kepada para hamba-Nya setelah mereka masuk Syurga:

“Apa yang kalian mahu Aku tambahkan sesuatu lagi untuk kalian?”

Maka mereka jawab:

“Apa (lagi) yang kami inginkan? Sedagkan Engkau telah memutihkan wajah-wajah kami, memasukkan kami ke dalam Syurga, serta memberikan kami ini dan itu…?”

Lalu Rabb mereka menampakkan diri di hadapan mereka, sehingga mereka benar-benar menikmati kenikmatan tersebut. Dan mereka tiada merasakan kenikmatan yang lebih berbanding melihat Allah Subhanahu wa Ta’ala.

Dan hadis-hadis yang menetapkan Ru’yatullah sebagaimana kami katakan, mencapai jumlah tiga puluhan hadis. Di antaranya ialah hadis Jabir radhiyallahu ‘anhu dan hadis Abu Hurairah radhiyallahu ‘anhu:

إِنَّكُمْ سَتَرَوْنَ رَبَّكُمْ عَيَانًا كَمَا تَرَوْنَ الشَمْسَ لَيْسَ دُونَهاَ سَحَابٌ وَ كَمَا تَرَوْنَ القَمَرْ لَيْلَةَ البَدْرِ لَيْسَ دُونَهُ سَحَابٌ

“Kalian akan melihat Rabb kalian secara langsung sebagaimana kalian melihat matahari tanpa ditutupi awan dan sebagaimana kalian melihat bulan pada malam bulan purnama tanpa tertutup awan.” (lihat: Shahih Al-Bukhari, no. 7437)

Hadis-hadisnya banyak. Sebahagiannya diriwayatkan oleh Imam al-Bukhari rahimahullah, demikian pula Imam Muslim rahimahullah.

Demikian perkara-perkara yang berkaitan dengan Ar-Ru’yah.

(Kata Imam Ahmad), “… sekalipun terdengar mustahil di telinga dan tidak logik di sisi yang mendengarnya.”

iaitu telinga-telinga pendengaran ahli kebathilan. Adapun para pengikut kebenaran (ahlul haq), maka mereka menerimanya dengan dada yang lapang.

(Kata Imam Ahmad), “…Wajib atasnya untuk beriman dengannya.”

Di saat muncul fitnah dan pengingkaran terhadap Ru’yatullah, ditambah pula dengan adanya sebahagian orang yang dibuat menjadi bingung, maka penulis (Imam Ahmad) pun menyebutkan (menegaskan) ucapan ini.

Adakah di antara kalian yang menjadi bingung dengan sebab hadis-hadis Abu Hurairah radhiyallahu ‘anhu ataupun dari ayat-ayat tentang ru’yah?! Tidak seorangpun. Dan tidaklah pendengarannya merasa janggal terhadap perkara ini (sehingga menolaknya). Namun, pendengaran-pendengaran ahlul bathil-lah yang tidak senang terhadapnya! Maka dari itu beliau (Imam Ahmad) pun menegaskan ucapan tersebut.

(Kata Imam Ahmad), “… dan jangan sampai ia menolaknya walau satu huruf pun.”

Kerana Ar-Rasul Shallallahu ‘alaihi wa Sallam tidaklah berucap dari hawa nafsunya. Tidaklah beliau berkata-kata kecuali hanya kebenaran. Oleh kerana itu, ketika ‘Abdullah bin ‘Amr radhiyallahu ‘anhu mengatakan:

“Orang-orang berkata, “Tak perlu engkau tulis dari Muhammad! Dia hanyalah manusia biasa yang berbicara di kala senang mahupun marah.”.”

Maka Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam pun bersabda:

اكْتُبْ، فَوَالَّذِي نَفْسِي بِيَدِهِ، مَا خَرَجَ مِنْهُ إِلَّا حَقٌّ

“Tulislah! Demi yang jiwaku berada di tangan-Nya, tidaklah keluar dari-(lisan)Nya melainkan kebenaran.” (Musnad Ahmad, no. 6802)

وَمَا يَنْطِقُ عَنِ الْهَوَى (3) إِنْ هُوَ إِلَّا وَحْيٌ يُوحَى

“Dan tidaklah dia mengucapkan dari hawa nafsunya. Sesungguhnya tidaklah dia mengucapkan sesuatu melainkan wahyu yang diwahyukan.” (Surah An-Najm, 53: 3-4)

Benarkah Nabi Melihat Allah di Dunia?

Imam Ahmad menegaskan, “Beriman dengan ru’yah di hari kiamat sebagaimana perkara tersebut telah diriwayatkan dari Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam dalam hadis-hadis yang sahih.”

Telah berlalu perbahasan tentang ru’yah.

(Kata Imam Ahmad), “…Dan bahawa Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam pernah melihat Rabb-nya kerana perkara tersebut telah dinukilkan dari Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam secara sahih. Diriwayatkan oleh Qotadah daripada ‘Ikrimah daripada Ibnu ‘Abbas. Diriwayatkan pula oleh ‘Ali B. Zaid daripada Yusuf B. Mihran daripada Ibnu ‘Abbas. Hadis tersebut di sisi kami sebagaimana zahirnya…”

Dalam permasalahan ini terjadi khilaf (perselisihan pendapat); Adakah Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam pernah melihat Rabb-nya pada malam Isra’ ataupun tidak?

Sebahagian ulama berpegang dengan ucapan Ibnu ‘Abbas radhiyallahu ‘anhuma tadi, juga dengan ucapan Imam Ahmad rahimahullah sehingga mereka memahami keduanya mengatakan bahawa sesungguhnya Nabi Muhammad Shallallahu ‘alaihi wa Sallam telah melihat Rabb-nya dengan kedua matanya.

Berkata Syaikh Al-Islam rahimahullah:

“Ucapan Ahmad dan Ibnu ‘Abbas datang secara muthlaq dan muqayyad.”

iaitu bahwa Ibnu ‘Abbas radhiyallahu ‘anhuma menyebutkan secara umum (muthlaq) bahawa Muhammad Shallallahu ‘alaihi wa Sallam telah melihat Rabb-nya. Tetapi datang pula riwayat dari beliau secara muqayyad (terkait) bahawa Muhammad Shallallahu ‘alaihi wa Sallam melihat-Nya dengan hatinya.

Dan datang pula ucapan Imam Ahmad rahimahullah secara umum yang mengatakan, “Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam telah melihat Rabb-nya.” Tetapi datang pula dari ucapannya yang menunjukkan bahawa beliau Shallallahu ‘alaihi wa Sallam melihat Rabb-nya dengan hatinya.

Adapun yang benar, sebagaimana yang ditegaskan oleh Ibnu Taimiyah rahimahullah:

“Tidak tsabit dalam Kitabullah, tidak pula dalam As-Sunnah bahawa Muhammad Shallallahu ‘alaihi wa Sallam telah melihat Rabb-nya.”

Sedangkan ucapan Ibnu ‘Abbas radhiyallahu ‘anhuma adalah mauquf dan muqayyad di waktu yang sama. Dan mengaitkannya dengan nash-nash (dalil) yang datang secara muqayyad adalah lebih sahih (dari yang muthlaq). Dalam Shahih Muslim (no. 176 di Kitab Al-Iman) disebutkan bahawa beliau Shallallahu ‘alaihi wa Sallam telah melihat Rabb-nya dengan hatinya sebanyak dua kali. Ini sebagaimana firman Allah:

مَا كَذَبَ الْفُؤَادُ مَا رَأَى

“Tidaklah hati mendustakan apa yang telah dilihatnya.” (Surah An-Najm, 53: 11)

Allah Subhanahu wa Ta’ala juga berfirman:

وَلَقَدْ رَآهُ نَزْلَةً أُخْرَى

“Dan sungguh ia telah melihatnya turun pada waktu yang lain.” (Surah An-Najm, 53: 13)

Namun ‘Aisyah radhiyallahu ‘anha pernah ditanya, lalu beliau (‘Aisyah) berkata sebagaimana pada hadis Masruq rahimahullah:

ثَلَاثٌ مَنْ تَكَلَّمَ بِوَاحِدَةٍ مِنْهُنَّ فَقَدْ أَعْظَمَ عَلَى اللهِ الْفِرْيَةَ

“Tiga perkara yang sesiapa mengatakan salah satu darinya, maka benar-benar dia telah berdusta besar atas Allah.” Di antaranya beliau sebutkan:

مَنْ زَعَمَ أَنَّ مُحَمَّدًا صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ رَأَى رَبَّهُ فَقَدْ أَعْظَمَ عَلَى اللهِ الْفِرْيَةَ

“Sesiapa yang mengatakan bahawa sesungguhnya Muhammad telah melihat Rabb-nya, maka benar-benar dia telah berdusta besar atas Allah.”

Maka Masruq rahimahullah berkata:

“Sebentar, jangan tergesa-gesa ya Ummul Mu’miniin, bukankah Allah ‘Azza wa Jalla telah mengatakan:

مَا كَذَبَ الْفُؤَادُ مَا رَأَى

“Tidaklah hati mendustakan apa yang telah dilihatnya.” (Surah An-Najm, 53: 11)

وَلَقَدْ رَآهُ نَزْلَةً أُخْرَى

“Dan sungguh ia telah melihatnya turun pada waktu yang lain.” (Surah An-Najm, 53: 13)

Kemudian ‘Aisyah pun berkata kepadanya:

أَنَا أَوَّلُ هَذِهِ الْأُمَّةِ سَأَلَ عَنْ ذَلِكَ رَسُولَ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ

“Aku adalah orang pertama dari umat ini yang bertanya kepada Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam tentang hal ini.” Lalu ‘Aisyah radhiyallahu ‘anhu berkata:

إِنَّمَا هُوَ جِبْرِيلُ، لَمْ أَرَهُ عَلَى صُورَتِهِ الَّتِي خُلِقَ عَلَيْهَا غَيْرَ هَاتَيْنِ الْمَرَّتَيْنِ، رَأَيْتُهُ مُنْهَبِطًا مِنَ السَّمَاءِ سَادًّا عِظَمُ خَلْقِهِ مَا بَيْنَ السَّمَاءِ إِلَى الْأَرْضِ

“Itu adalah Jibril yang dilihat oleh Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam sebagaimana dikatakan oleh beliau bahawa telah melihatnya sebanyak dua kali dalam bentuk (asli)nya yang diciptakan oleh Allah. Beliau melihatnya turun dari langit, menutupi antara langit dan bumi.” (Shahih Muslim, no. 177)

Maksudnya, bahawa beliau tidak pernah melihat Jibril dalam wujud aslinya yang diciptakan oleh Allah, melainkan dua kali. Beliau Shallallahu ‘alaihi wa Sallam melihat Jibril menutupi apa yang ada di antara langit dan bumi, kerana begitu besarnya ukuran penciptaannya. Maka yang dimaksudkan dalam ayat tadi adalah penglihatan Muhammad terhadap Jibril.

Sebagai tambahan atas hadis ‘Aisyah radhiyallahu ‘anha, disebutkan dalam hadis Abu Dzar bahawa Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam pernah ditanya tentang perkara ini (melihat Allah di dunia), maka beliau Shallallahu ‘alaihi wa Sallam menjawab:

نُورٌ أَنَّى أَرَاهُ

“Cahaya, mampukah aku melihat-Nya?”

Yakni mustahil. Tidak mungkin bagi pandangan.

Adapun yang kedua, sanad riwayat hingga Ibnu ‘Abbas yang dibawakan oleh penulis (Imam Ahmad), maka pada keduanya terdapat kelemahan:

“Diriwayatkan oleh Qotadah daripada ‘Ikrimah daripada Ibnu ‘Abbas. Diriwayatkan juga oleh Al-Hakam bin Aaban daripada ‘Ikrimah daripada Ibnu ‘Abbas.”

Al-Hakam bin Aaban ini jujur (shaduuq), tetapi sering keliru. Ini sanad pertama yang aku maksudkan.

Pada sanad yang kedua, terdapat ‘Ali bin Zaid bin Jud’an, beliau dha’if. Di dalamnya juga terdapat Yusuf bin Mihran dan beliau majhul (tidak dikenali). Tidak ada yang meriwayatkan daripadanya selain ‘Ali bin Zaid bin jud’an.

Apatah lagi keduanya adalah mauquf. Sebuah ucapan yang mauquf dari sahabat Nabi Ibnu ‘Abbas, bertentangan dengan sebuah ucapan yang marfu’ daripada Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam. Maka jika bertentangan antara mauquf dengan yang marfu’, manakah yang kita dahulukan? (Sudah tentu yang marfu’ – pent.)

Itupun jika perkara tersebut menunjukkan kepada penglihatan dengan mata. Katakanlah (sebagai sikap mengalah), jika sahih riwayat tersebut, maka yang benar ucapan tersebut bersifat muthlaq. Maka ia haruslah di-taqyid-kan (dikaitkan) dengan hadis-hadis yang lainnya yang juga sahih, iaitu: “Beliau melihat-Nya dengan hatinya.”

Ibnu ‘Abbas radhiyallahu ‘anhuma sendiri telah mengaitkan ucapannya yang muthlaq dengan “penglihatan Nabi dengan hati.” Kerana itulah Ibnu Taimiyah rahimahullah mengatakan:

“Imam Ahmad telah menyebutkan ru’yah secara muthlaq dan muqayyad.” Inilah yang benar, iaitu yang muthlaq (penegasan melihat Allah secara umum – pent.) di-taqyid-kan (dimaksudkan kepada melihat dengan hati, bukan dengan mata – pent).

Jadi, yang benarnya tidak-lah ada perselisihan di antara para sahabat (dalam masalah ‘aqidah – pent.). Kerana ahlul ahwaa‘ yang menebarkan perselisihan dalam masalah-masalah pokok dan ‘aqidah, mereka mengatakan:

“Para sahabat telah berselisih dalam masalah ‘aqidah.”

Maka ini adalah kedustaan. Mereka tidak pernah berselisih padanya. ‘Aisyah radhiyallahu ‘anha menafikan Ru’yatullah (melihat Allah) dengan mata, sedangkan Ibnu ‘Abbas radhiyallahu ‘anhuma tidaklah menetapkan Ru’yatullah dengan mata, tetapi dengan hati. Lalu di mana letak sisi khilaf (perselisihan)nya? Tidak ada! Adakah dapat difahami?

Selanjutnya penulis (Imam Ahmad) menutup penegasan ini dengan mengatakan:

hendaklah kita beriman dengannya sebagaimana ia datang selari maksud zahirnya…”

Terkadang ucapan ini dapat difahami seseorang bahawa Rasul Shallallahu ‘alaihi wa Sallam telah melihat Rabb-nya dengan kedua matanya, berdasarkan hadis Ibnu ‘Abbas radhiyallahu ‘anhuma. Sedangkan kalian telah mengetahui bagaimana perbahasan tentang sanad hadis tersebut. Bahawa darjatnya tidak dapat naik sampai kepada hadis sahih, bahkan tidak pula ke darjat hasan. Lebih-lebih lagi masih dikaitkan (diikat) dengan hadis yang lainnya yang sahih.

Oleh sebab itulah, ucapan penulis (Imam Ahmad) yang masih bersifat umum (muthlaq) dibawa kepada yang lebih terperinci (di-taqyid-kan) sehingga kesimpulannya bahawa tidak ada perselisihan pendapat (khilaf) dalam permasalahan ini di antara para sahabat, baarakallaahufiikum

Adapun orang-orang yang datang kemudian, sebahagian mereka terpengaruh dengan ucapan Imam Ahmad rahimahullah tadi, sehingga mereka menyangka bahawa beliau mengatakan bahawa Muhammad Shallallahu ‘alaihi wa Sallam telah melihat Rabb-nya dengan kedua matanya. Maka bentuk kefahaman ini adalah keliru, kerana Imam Ahmad rahimahullah telah men-taqyid-kannya (dari kata umum melihat, kepada melihat dengan hatinya secara rinci dan khusus – pent.).

June 11, 2013

http://www.ilmusunnah.com/melihat-allah/

 

(nahimunkar.org)

(Dibaca 243 kali, 1 untuk hari ini)